Pages

Friday, August 6, 2010

Gaza Derita Angkara Israel Lahnatullah



Dalam mana-mana sejarah peradaban di dunia, belum pernah berlaku peristiwa di mana sebuah masyarakat dinafikan hak-hak kemanusiaan mereka dengan dikepung dan dihalang daripada berhubung dengan masyarakat antarabangsa.

Lalu apabila seramai 1.5 juta orang rakyat Palestin di Genting Gaza yang hari ini memasuki hari kelapan dikepung oleh rejim Zionis di bumi sendiri, sudah tidak ada lagi piawaian kekejaman yang boleh dinilai daripada tindakan Israel itu.

Konflik terbaru di wilayah Palestin yang disifatkan oleh masyarakat antarabangsa sebagai satu malapetaka kemanusiaan itu sebaliknya dilakukan oleh Israel semudah sekelip mata.

Dengan sokongan Amerika Syarikat (AS), kepungan yang menyaksikan bekalan harian terutamanya makanan dan bahan bakar ke Genting Gaza terputus sama sekali langsung tidak mengambil kira soal keselamatan rakyat Palestin yang sudah sedia tertindas.

Beberapa hari selepas penutupan laluan itu, seluruh Bandar Gaza bergelap selepas loji jana kuasa tunggal yang membekalkan 30 peratus keperluan elektrik kepada penduduk gagal beroperasi.

Krisis kemanusiaanTragedi itu mengheret Genting Gaza kepada krisis kemanusiaan yang lebih meruncing apabila perkhidmatan awam terutamanya hospital dan keperluan asas lain lumpuh sama sekali.

Genting Gaza dipisahkan dengan masyarakat antarabangsa menerusi lima laluan keluar-masuk utama atau juga dirujuk sebagai blok pemisah yang bersempadan dengan negara luar termasuk Mesir dan Israel.

Antaranya ialah laluan Karni yang merupakan pintu masuk utama kepada barangan perdagangan serta aktiviti eksport-import ke Genting Gaza yang pernah beberapa kali ditutup termasuk pada 2006.

Laluan Kerem Shalom, Erez dan Sufa pula merupakan sempadan yang agak tegang dan ditutup sepenuhnya oleh Israel ekoran ancaman serangan roket oleh pejuang Palestin dari Tebing Barat.

Rafah yang bersempadan dengan Mesir pula merupakan satu-satunya laluan bagi penduduk Gaza untuk ke luar negara selepas Israel mengharamkan wilayah Yahudi lain sebagai transit kecuali dalam situasi luar biasa.

Laluan ini juga sering kali ditutup selama beberapa bulan dalam tempoh setahun termasuk penutupan sepenuhnya yang mencetuskan krisis ketika ini sebelum diletupkan oleh pejuang Palestin, tiga hari lalu.

Kesemua sempadan ini juga pernah mencatatkan peristiwa ditutup laluannya oleh Israel yang mengisytiharkan Genting Gaza sebagai entiti musuh pada tahun lalu.

Hanya barangan makanan dan ubat-ubatan daripada bantuan yang diuruskan oleh Agensi Bantuan Pelarian, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWRA) sahaja dibenarkan melalui kawasan ini bertujuan menyalurkan bantuan ke kem-kem pelarian Palestin di Genting Gaza seperti di Jabaliya, Khan Younis dan Rafah.

Melihat kepada perkembangan yang berlaku di Genting Gaza ketika ini, Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (PACE), Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor berkata, apa yang paling dibimbangi adalah kemungkinan rakyat Palestin kembali terkepung sepenuhnya dalam masa terdekat.

Keadaan itu bukanlah sesuatu yang mustahil melihat kepada tekanan yang dikenakan Israel ke atas Mesir supaya menutup satu-satunya laluan yang digunakan oleh rakyat Palestin ketika ini iaitu di Rafah.

Laluan di pesisir laut itu terbuka selepas pejuang Palestin memusnahkan tembok sempadan iaitu langkah dramatik dalam membantah tindakan kejam Tel Aviv.

Bagaimanapun jelas Hafidzi, laluan di Rafah yang menyaksikan kira-kira 700,000 penduduk Gaza menyeberanginya kini sukar dipertahankan oleh Mesir yang terikat dengan perjanjian Kem David 1978 dengan Israel.

Perjanjian itu memperuntukkan Mesir untuk bertanggungjawab sepenuhnya ke atas blok kawasan yang memisahkan negara itu dengan Genting Gaza termasuk soal keselamatan dan pencerobohan rakyat Palestin.

Apatah lagi Israel dalam memberi tekanan kepada Mesir untuk menutup segera laluan Rafah itu turut meniup anasir jahat terhadap kemungkinan penyeludupan senjata oleh pejuang Hamas yang kononnya bakal meningkatkan lagi keganasan di rantau ini.

''''Semestinya dalam situasi sekarang, pertimbangan kerajaan Mesir bukan lagi kepada soal kebajikan rakyat Palestin sebaliknya keperluan untuk patuh kepada perjanjian Kem David.

Apatah lagi, perjanjian itu ketika dimeterai dulu juga langsung tidak mengambil kira mengenai nasib rakyat Palestin dan ini menambah kepada kemungkinan rakyat Palestin tidak lagi boleh menggunakan laluan Rafah dalam masa terdekat," katanya kepada Utusan Malaysia.

Apa yang paling dikesalkan tambah Hafidzi, adalah sikap berdiam diri negara-negara Arab dalam menyatakan pendirian mereka mengenai krisis di Genting Gaza ketika ini apatah lagi untuk menghulurkan bantuan.

KomitmenSikap negara-negara itu walaupun bukanlah sesuatu yang mengejutkan, namun semakin ketara selepas lawatan Presiden AS, George W. Bush ke rantau Asia Barat awal bulan ini.

Bush yang dalam lawatannya turut membawa agenda tersendiri dilihat sangat berjaya mengikat komitmen negara-negara Arab supaya menyokong dasar luar White House terutamanya dalam krisis Israel-Palestin yang secara jelas memberi keuntungan kepada rejim Zionis.

Suara negara-negara Arab juga terikat kejap selepas menjadi komuniti dalam persidangan Annapolis di Maryland, AS, 27 November lalu yang tidak menyebelahi rakyat Palestin sebaliknya memungkinkan pengiktirafan semula dunia Islam kepada Yahudi ke atas bumi Palestin.

Apa yang diharapkan sebagai langkah penyelesaian segera daripada krisis kemanusiaan di Genting Gaza ini menurut Hafidzi, adalah tindakan tegas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya meluluskan resolusi mendesak Israel menamatkan sekatan sepenuhnya.

Ini kerana sekatan itu secara jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan Persidangan Geneva termasuk Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia 1948 dan Israel sewajarnya dikenakan tindakan tegas akibat pencabulan itu.

Namun, mengimpikan tindakan ke atas Israel tidak ubah ibarat mengharapkan bulan jatuh ke riba apatah lagi dalam keadaan PBB sendiri tertakluk kepada tindakan AS.

''''Justeru dalam keadaan ini, masyarakat antarabangsa pastinya sangat mengharapkan AS terutamanya Bush melihat kesengsaraan rakyat Gaza dengan penuh sifat kemanusiaan seterusnya mendesak Israel membuka semula pintu sempadan," katanya.


Oleh Mohd Khuzairi Ismail (Wartawan Utusan)

No comments:

Post a Comment