Pages

Monday, August 9, 2010

Chong Wei, Misbun tidak ikut rombongan ke Bath


KUALA LUMPUR - Permintaan jurulatih perseorangan kebangsaan, Datuk Misbun Sidek untuk dikecualikan daripada program latihan di University of Bath diluluskan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semalam, malah seperti dijangka, turut 'terlepas penerbangan' ke England ialah anak didiknya, Datuk Lee Chong Wei.

Latihan 10 hari di Bath itu adalah sebahagian program yang disediakan oleh BAM bersama Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) dalam persiapan Kejohanan Dunia di Paris, 23-29 Ogos ini.

Misbun memberikan alasan peribadi sebagai sebab utama dia tidak dapat menyertai rombongan 20 pemain dan jurulatih menjalani latihan di England, lokasi yang dipilih ISN dengan harapan cuaca sejuk di sana akan memudahkan pemain menyesuaikan diri dengan keadaan di Paris.

Malah, beliau turut memohon kepada BAM agar membenarkan Chong Wei untuk meneruskan latihan di bawah pengawasannya di Kuala Lumpur tanpa perlu mengikuti rombongan pemain lain ke University of Bath, yang dijadual berlepas esok.

Permintaan itu dibuat dalam pertemuan dengan Pengarah Bahagian Atlet MSN, Ahmad Shapawi Ismail, Pengarah Cawangan Dasar ISN, Kol. (B) Wong Ah Jit dan Pengurus Besar BAM, Kenny Goh pagi semalam.

"Misbun meminta untuk tidak pergi ke Bath atas alasan peribadi, selain merasakan latihan di Kuala Lumpur lebih baik buat pemainnya. Memandangkan dia tidak dapat ke England, jadi dia juga meminta BAM agar membenarkan Lee Chong Wei untuk turut kekal di sini.

"Secara prinsipnya kami meluluskan permohonan Misbun itu tetapi kami meminta beliau menulis sepucuk surat rasmi untuk menjejaskan dengan lebih terperinci sebab mengapa beliau tidak dapat mengikuti latihan di Bath, kami akan memperhalusi isu surat berkenaan.

"Saya rasa ini bukanlah satu perkara yang harus diperbesarkan. Ia isu kecil, apatah lagi pemain-pemain lain akan berlepas ke England seperti yang dijadualkan,'' kata Kenny pada majlis undian Kejohanan Dunia di Kuala Lumpur, semalam.

sumber Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment